Gratitude helps you to grow and expand.
Gratitude brings joy and laughter into your lives
and into the lives of all those around you.

Wednesday, May 25, 2011

Tuhan Manusia

Tajuk : Tuhan Manusia
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd

Lama dah habis baca buku ni, baru sekarang review nak dibuat. Kisah Tuhan Manusia bukan kisah yang ringan, tetapi sentiasa mengajak akal untuk berfikir dengan kritis, luar dari hal-hal lain yang tidak penting. Memang ia sebuah novel, tetapi novel ini intinya sarat, tumpuannya berat, bukan santai-santai saya kira.

Memahami pluralisme dan liberalisme agama bukan sesuatu yang mudah. Juga bukan untuk kita fahami semata-mata, tetapi untuk kita teliti aganda-agenda yang terselindung di sebaliknya. Ini adalah propaganda terhebat dari barat semata - mata untuk kita merasa ragu pada Islam, merasa tidak senang dengan hukum hakam, merasa bahawa peraturan tidak bisa mengawal kehidupan kerana manusia diberi kebebasan sebebas-bebasnya untuk memilih jalan hidup, memilih tatacara dan juga memilih agama yang dirasakan senang, mudah dan sesuai mengikit logik akal semata-mata, tanpa perlu berpandu pada asas akidah dan iman dalam Islam.

Begitulah Tuhan Manusia mengajar khalayaknya. Menerusi watak Alif Fikri, zaman remajanya tidak betah dengan suka-suka. Tetapi hatinya selalu tertanya-tanya, akalnya selalu mencari-cari apakah semua agama itu menyatakan kebenaran. Apakah tuhan itu satu, dan dalam masa yang sama tuhan itu tiga juga adalah benar.  Wabak liberalisme dan pluralisme inilah sebenarnya yang membawa penyakit menyatakan kebenaran ini, sehingga abang sendiri turut menjadi mangsa penyakit pluralisme, bila mana memilih jalan untuk menjadi murtad. 

Pertembungan antara pemikiran Islam dan pemahaman pluralisme serta liberalisme dengan rakan sekelas Alif membawa perdebatan yang sangat menarik. Saya kira zaman remaja Alif Fikri bukan masa yang sia-sia, bukan masa suka-suka, tetapi penuh rencahnya. Kalau pun tidak sinonim dengan remaja lain, tetapi pengalaman itu cukup berharga.

Selalunya novel itu santai, tetapi tidak pada Tuhan Manusia. Ini novel kedua dalam banyak koleksi novel saya yang saya kira letih membacanya kerana tumpuannya berat. Kali pertama saya pernah membaca novel IMAM karya SN Abdullah Hussain. Macam baca buku ilmiah, sangat rinci isinya.

Tuhan Manusia harus dimiliki oleh semua, kerana ia bukan sekadar cerita, tetapi ia adalah pengisian rohani yang cukup utuh dalam menghadapi cabaran kehidupan hari ini.