Gratitude helps you to grow and expand.
Gratitude brings joy and laughter into your lives
and into the lives of all those around you.

Thursday, December 30, 2010

Negeri 5 Menara


Penulis : A. Fuadi
Harga : Sem. Malaysia (RM 20.00) / Sabah/Sarawak (RM 23.00)

Ada satu buku yang sangat-sangat menarik perhatian saya untuk membacanya. Sampaikan saya tertunggu-tunggu bila mula terbit buku tersebut untuk saya hadam segala isi dalamnya.Membaca Negeri 5 Menara seolah-olah membaca sebuah buku illmiah.  Hampir setiap helaiannya penuh dengan maksud yang perlu saya fahami.

Apabila kita bicara tentang sekolah pondok, pandangan kita sangat tipikal. Pandangan kita terhad pada mengaji, solat dan ritual keagamaan. Saya juga begitu. Tetapi hakikatnya ada pada Negeri 5 Menara. Memberi sudut sisi yang mengangkat bahawa sekolah pondok bukan sahaja mengajar ilmu ukhrawi, tetapi 'life skill' (memetik seperti kata penulisnya, A.Fuadi) yang ampuh untuk menghadapi kehidupan.
Kisah enam orang sahabat yang bertemu di Pondok Madani (PM), yang kemudian sama-sama melakar impian dan cita-cita, dengan semangat 'Man jadda Wajadda' (Sesiapa yang bersungguh-sungguh dia berjaya),mantera sakti di PM kemudian membawa mereka ke 5 benua impian masing-masing.


Bukan tentang sinopsis buku yang menjadi wajaran tulisan saya ketika ini. Tetapi setiap baris yang saya conteng dan gariskan di setiap inci sudut buku ini yang benar-benar menyentuh minda saya. Kerana dalam banyak keadaan, saya selalunya kurang sedar, kurang periksa, dalam menjalani kehidupan. Dan, mengembara ke dalam Negeri 5 Menara benar-benar membuat saya sedar, setiap saat dan ketika , susah dan senang Allah itu sentiasa ada bersama kita. Cuma kita sebagai umat, yang selalu lupa.


Mantera Man Jadda Wajadda  (siapa yang bersungguh2, dia berjaya) adalah laungan yang mendominasi seluruh kehidupan warga Pondok Madani. Cukup mudah untuk diingat, tafsiran ada pada diri. Untuk penguat  semangat, menjalar motivasi dalam diri untuk terus berusaha, sesungguhnya ini adalah perkataan yang tepat. Kalau setiap dari kita diajar untuk melalung-laung kata mantera berulang kali, tentunya ia dapat dipahat kejap-kejap dalam hati untuk buat bekalan sepanjang pengembaraan kehidupan. Lain rasanya kalau melaung dalam bahasa ibunda, perasaannya tidak sama, entah kenapa. Barangkali itulah indahnya bahasa Arab, bahasa Al-Quran. Indah juga bila disebut dan difahami.

Alif Fikri, Atang, Raja, Said, Baso dan Dulmajid. Enam sahabat yang punya impian untuk pergi ke menara cita-cita masing-masing. Siapa tahu, angan-angan setiap dari mereka yang sering melakar awan di bawah bayang-bayang menara di PM, akhirnya benar-benar dapat membawa mereka menakluk benua impian masing-masing.

Usaha, kerja keras, kepercayaan, cara hidup, kata semangat dan tawakal bahawa Allah itu sentiasa mendengar setiap hajat dari hambanya adalah seluruh kehidupan yang diajar di PM. Mereka yakin, walau pendidikan di PM tidak menawarkan sebarang ijazah untuk mereka miliki kemudiannya, tetapi apabila seorang manusia itu dilengkapi dengan ilmu dan amal semata-mata kerana Allah, maka janji Allah 'kun fayakun' tidak pernah mengecewakan.

"Selain itu, ingat juga aturan di sini punya konsekuensi hukum yang berlaku tanpa pandang bulu. Sekiranya tidak dapat mengikuti peraturan, mungkin kalian tidak sesuai di sini. Semak baik-baik, tidak ada yang tertulis, kerana itu kalian perlu tulis dalam ingatan. Sesudah mendengar kanun, setiaporang tidak punya alasan tidak tahu ini adalah aturan."

"Akhi. Dengarkan baik-baik. Kita tidak mahu membuat peraturan tertulis banyak-banyak,lalu kemudian dilupakan dan tidak diterapkan.Kanun ini maksudnya supaya apa yang disebutkan dilaksanakan bersama. Memang tidak ada pengulangan kerana harapannya semua orang mencatat dalam hati masing-masing dan siap melaksanakannya".


"Akhi, sekarang semakin banyak orang menjadi tidak acuh pada kerosakan yang terjadi di sekitar mereka.kaedah jasus (mata-mata) adalah membangkitkan semangat supaya waspada dengan apa yang tidak kena dalam masyarakat.Penyimpangan perlu diluruskan.Itulah inti daripada kulil haqqa walau kaana murran. Katakanlah kebenaran walau itu pahit. Ini self correction, bagi menimbulkan kesan kesedaran. Dan yang paling penting,memastikan semua warga PM sedar sesedar sedarnya, supaya jangan meremehkan peraturan yang sudah dibuat. Sekecil apa pun, itulah peraturan dan peraturan itu ada bagi ditaati" jelas guru kelas kami panjang lebar kepada seisi kelas."
 

Ini adalah antara baris2 menarik  yang saya kira wajar untuk kita amati dan telusuri. Pengalaman saya, kadang-kadang  peraturan telah kita buat secara bertulis pun masih tidak dapat diamalkan sepenuhnya. Ada lagi orang yang bercakap tidak tahu dan tidak sedar, lupa dan sebagainya. Dan apabila teguran dibuat, mulalah kita mempersoalkan siapa dia orang yang menegur, apa pangkatnya, apa kuasanya untuk menegur kita. Tetapi kaedah melatih dalam PM seperti di atas memberikan gambaran bahawa walau sekecil mana peraturan sekalipun dibuat, ia adalah untuk tujuan kawalan, agar kesilapan tidak tersasar jauh, dan kekhilafan belum terlambat untuk diperbaiki.

Buku ini bukan sekadar kisah pondok pesantren, tetapi kisah kehidupan, bagaimana seharusnya dan sebaik2nya kita perlu menjelajah, meneroka dan mengembara dalam dunia yang sementara ini.









1 comment:

Anonymous said...

Nantikan perjalanan Alif seterusnya yang pasti penuh dengan pengajaran hidup dalam novel Ranah 3 Warna. Tidak lama lagi di pasaran.